Nuffnang Ads

Friday, July 1, 2011

Selamat Tinggal stesen Tg Pagar, Sultan Johor antara 100 penumpang akhir

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Tepat pukul 11 malam ini, kereta api Senandung Sutera, perkhidmatan terakhir dari stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura akan melabuh tirai perjalanan yang bermula 79 tahun yang lalu.

Gambar ihsan Kosmo

Pengurus kanan korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata, kira-kira 100 penumpang akan mengikuti perkhidmatan terakhir ini dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perkenan menyertai perjalanan terakhir malam ini.

The Malaysian Insider juga difahamkan kereta api terakhir tersebut akan dipandu sendiri oleh Sultan Ibrahim.“Penumpang terdiri daripada kakitangan KTMB sendiri dan orang awam,” kata Fazil ketika dihubungi The Malaysian Insider. Bagaimanapun, kereta api harian biasa, Ekspres Senandung Malam, akan beroperasi seperti biasa pada pukul 10 malam ini dengan dinaiki 540 penumpang.

Fazil berkata KTMB terpaksa mengehadkan penumpang yang menaiki kereta api terakhir khas tersebut kerana tidak mahu berlaku sebarang masalah teknikal dan operasi. Justeru, Fazil berkata, orang ramai turut dipelawa memberi lambaian terakhir kepada penumpang-penumpang perkhidmatan kereta api terakhir ini.
“Saya percaya ramai yang akan hadir melihat dan memberi lambaian sebagai tanda ‘Selamat Tinggal’ kepada kereta api di stesen Tanjong Pagar yang dihentikan operasi selama-lamanya. Saya turut sedih tetapi menerima dengan hati terbuka. Sudah hampir  80 tahun ia menjadi destinasi persinggahan terakhir KTMB bagi menurunkan penumpang ke Singapura,” ujarnya lanjut.

Malaysia bersetuju memindahkan stesen KTMB Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP), berkuat kuasa mulai esok. Keputusan itu dicapai hasil perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura tahun lalu. Selain itu, Fazil berkata, orang ramai yang menjadi penumpang kereta api terakhir akan diberikan sijil pengesahan KTMB.

“Sijil pengesahan diberikan kepada penumpang sebagai tanda penumpang yang menaiki kereta api terkahir di stesen Tanjong Pagar sebelum dihentikan operasinya. Namun, bukan hanya penumpang yang menaiki kereta api terakhir tetapi juga mereka yang menaiki kereta api harian dari stesen Tanjong Pagar sepanjang hari tersebut (hari ini),” kata Fazil.  Dalam pada itu, Fazil berkata, sudah hampir 99 peratus kelengkapan operasi telah dipindahkan ke WTCP. “Tiket, kaunter perkhidmatan dan barang-barang KTMB di Tanjung Pagar semuanya telah dipindahkan ke Woodlands. Pegawai dan kakitangan KTMB yang berkhidmat di stesen tersebut juga dipindahkan berkhidmat di Stesen JB Sentral dan ditempatkan di lokasi yang mempunyai kekosongan,” katanya lagi.

Fazil berkata, persiapan terakhir perjalanan kereta api berjalan seperti biasa.  “Kami akan menunggu ketibaan penumpang sehingga tibanya waktu kereta api terakhir bergerak,” ulasnya. Tambahnya, KTMB turut mengadakan pameran fotografi dan menyediakan cenderahati yang akan dijual kepada pengunjung pada hari ini.

“Gambar-gambar yang dipamerkan menunjukkan stesen KTMB Tanjong Pagar  sebagai kenangan. Cenderahati pula akan dijual sendiri oleh kakitangan KTMB dan ahli Kelab Peminat Keretapi,” katanya.
Jarak laluan dari Stesen Woodlands ke Stesen Bukit Timah adalah sejauh 14km manakala laluan dari Stesen Bukit Timah ke Stesen Tanjong Pagar adalah 10.25km. 

Stesen Tanjong Pagar memulakan operasi pada 1932.

Gambar ihsan Kosmo - stesen yang sentiasa dibanjiri oleh jurugambar dalam dan luar negara

2 comments:

idafirdausi said...

kite tak pernah lagi merasa naik KA malaysia nie... kalau kat Indon every weekend mesti naik KA.. :)

zuwaidah said...

wowwwww bestnya naik kat sana yeeee....citer ler sikit pengalaman naik KA di Indon. mungkin lain sikit kot dari di sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...